Minggu, 15 Desember 2013

Ambiga tak akan hadir siasatan tegaskan j kuasa berat sebelah


(Oleh Mohd Martin Kahar)
KUALA LUMPUR 13 Ogos: Pengerusi Bersih, Datuk S Ambiga tidak akan memberi keterangan kepada panel siasatan bebas Bersih yang diketuai oleh bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar.
Bekas Presiden Majlis Peguam itu berpendirian, panel siasatan tersebut berat sebelah selain bertegas perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu adalah sah di sisi undang-undang.
Menurut beliau, panel siasatan tidak perlu ditubuhkan kerana Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) telah mengadakan pendengaran awam bagi menyiasat perkara itu.
“Saya sudah menulis surat kepada panel siasatan dan memaklumkan saya tidak akan hadir memberi apa-apa keterangan,” katanya ketika dihubungi.

Selasa lalu, Tun Hanif meminta Ambiga dan Majlis Peguam hadir memberi keterangan.
Hanif berkata, keterangan itu amat diperlukan memandangkan mereka adalah penganjur dan dapat memberi gambaran lebih jelas situasi perhimpunan.
Sebelum ini, Hanif pernah mengaitkan Bersih 3.0 dengan ideologi komunis.

Mei lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan jawatankuasa bebas untuk menyiasat keganasan perhimpunan Bersih 3.0.
Jawatankuasa itu turut dianggotai bekas Ketua Hakim Borneo, Tan Sri Steve Shim; Pengarah Urusan Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub; Penasihat Perundangan Antarabangsa Media Cina Liew Peng Chuan; Pengarah Perhubungan Korporat Petronas Datuk Medan Abdullah dan Profesor Psychologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Ruszmi Ismail.

Bagaimanapun, Steve menarik diri daripada panel itu kerana masalah kesihatan manakala Mohammad Medan menolak pelantikan itu berikutan bebanan tugas lain.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee memaklumkan pihaknya akan mengadakan mesyuarat hari ini sebelum memutuskan sama ada akan hadir memberi keterangan pada panel siasatan.
“Kami perlu berbincang perkara ini dulu sebelum membuat keputusan,” kata Chee Wee.
Short URL: http://www.keadilandaily.com

Tidak ada komentar:

Posting Komentar